LONDON: Gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) perlu dianugerahkan kepada Manchester United dan Liverpool selepas Manchester City didakwa melanggar peraturan kewangan.
Aguero meraikan jaringan kemenangan ketika City menjuarai saingan EPL pada 2011-12.
Liga Perdana hari ini mendakwa City yang dimiliki City Football Group (CFG) yang dikuasai Abu Dhabi melanggar peraturan kewangan lebih daripada 100 kali dalam tempoh sembilan musim.
Selepas berita itu tersebar, penyokong Liverpool dan United menegaskan pasukan mereka perlu dianugerahkan gelaran Liga Perdana pada tahun di mana mereka menduduki tempat kedua di belakang skuad kendalian Pep Guardiola.
Liverpool hanya kurang satu mata di belakang City pada musim 2018-19 dan 2021-22. The Reds juga ketinggalan dua mata di belakang City pada musim 2013-14.
United pula dinafikan kejuaraan liga musim 2011-12 oleh City menerusi perbezaan gol hasil kemenangan dramatik Sergio Aguero pada perlawanan terakhir liga.
Seorang penyokong Liverpool menulis: “Jika didapati bersalah perlu ada potongan mata. Kami hanya mempunyai satu gelaran dan bukannya tiga kerana kami bersaing dengan pasukan yang melanggar undang-undang.”
Seorang lagi penyokong Reds menulis: “Berikan gelaran Liga Perdana kepada pasukan tempat kedua pada 2013-14, 2018-19 dan 2021-22 sebagai hukuman.”
Penyokong United pula berkata: “Beri Manchester United dan Jose Mourinho gelaran Liga Perdana 2017-18.” – AGENSI
Source: bharian.com.my