London: Liverpool dijangka menurunkan Cody Gakpo buat kali pertama ketika menentang Wolves dalam saingan Piala FA awal pagi Ahad sekali gus melegakan Reds yang berdepan isu kecergasan.
Beberapa pemain mengalami kecederaan sebelum ini dengan yang terbaru Virgil van Dijk selepas pertahanan itu bakal tersisih enam minggu akibat masalah masalah hamstring yang memerlukan rawatan pakar.
GAKPO (tengah) ketika menyaksikan perlawanan Liverpool menentang Wolves.
Roberto Firmino belum pasti beraksi di bahagian serangan yang sudah pun tempang tanpa Luis Diaz dan Diogo Jota yang belum pulih kecederaan.
Arthur Melo turut tersisih tetapi Liverpool berharap dapat menurunkan James Milner yang kembali pulih daripada masalah paha selain dan Jordan Henderson yang berdepan isu kesihatan.
Dengan harapan menjulang trofi musim ini semakin tipis, menarik untuk dilihat bagaimana pengendali Jurgen Klopp menggilirkan pemainnya untuk pertembungan dengan Wolves di Anfield.
Ibrahima Konate mungkin digugurkan susulan prestasi hambar ketika tewas kepada Brentford manakala Andrew Robertson dijangka kembali menyertai kesebelasan jika cergas.
Pemain muda Stefan Bajcetic turut menjadi pilihan Klopp di bahagian tengah dengan Caoimhin Kelleher bakal meneruskan tugas sebagai penjaga gol untuk aksi saingan peringkat kejohanan.
Sementara itu, jurulatih Wolves, Julen Lopetegui tidak berpuas hati dan mempersoalkan kelebihan dua hari dimiliki Liverpool menjelang pertembungan kedua-dua pasukan.
Kunjungan Wolves ke Anfield adalah aksi ketiga mereka dalam enam perlawanan sepanjang 23 hari.
Lopetegui percaya Liverpool mempunyai kelebihan kerana kali terakhir skuad Jürgen Klopp beraksi ketika tewas kepada Brentford Isnin lalu manakala pasukannya seri dengan 1-1 dengan Aston Villa kelmarin.
“Saya tak faham bagaimana kami boleh bermain dalam satu kejohanan dengan kurang dua hari persiapan berbanding lawan,” kata Lopetegui.
“Mereka miliki dua hari tempoh pemulihan, saya minta maaf tapi saya tak faham situasi ini boleh berlaku.”
source: hmetro.com