LONDON – Sekalipun dipalit masalah kecederaan pemain, Pengurus Chelsea, Graham Potter enggan menjadikannya alasan untuk berdepan kegagalan pada awal tahun 2023.
Menjelang pertemuan dengan Nottingham Forest di City Ground tengah malam ini, Potter kehilangan khidmat Reece James, Ben Chilwell, N’Golo Kante dan Wesley Fofana.POTTER perlu merencanakan strategi terbaik berdepan Forest untuk mengelakkan Chelsea menanggung kekalahan keempat berturut-turut di tempat lawan. – AFP
Potter mengakui situasi itu mencabar kredibilitinya sebagai jurulatih selain berwaspada dengan ancaman yang bakal dijelmakan oleh Nottingham Forest.
“Tugas kami sekarang adalah cuba membawa semula pemain (yang cedera) ke dalam pasukan. Ia menjadi tempoh yang cukup sukar dan ia menjadi detik mencabar buat saya sepanjang bergelar jurulatih.
“Namun, kami adalah Chelsea dan semua orang tidak mahu dengar alasan itu. Jadi, kami perlu mencuba sehabis baik untuk mendapatkan jawapan kepada permasalahan ini,” katanya.
The Blues tewas dalam kesemua tiga perlawanan terakhir di tempat lawan dan rekod terburuk Chelsea adalah kalah dalam empat perlawanan berturut-turut adalah pada awal 2019 ketika di bawah Maurizio Sarri
Pencapaian Nottingham Forest yang menewaskan Liverpool pada Oktober lalu nyata menggusarkan Potter kerana tuan rumah juga dijangka tampil lebih agresif selepas tewas 0-3 kepada Manchester United Rabu lalu.
“Forest berjaya dapatkan keputusan baik ketika menentang Liverpool dan dan saya cukup hormat pengendalinya, Steve Cooper kerana berjaya melakukan tugas dengan baik. Dia adalah jurulatih yang hebat dan mereka pastinya sudah bersedia untuk hadapi cabaran kali ini,” jelas Potter. – AGENSI
Source: kosmo.com