London: Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku mahu melupakan kecederaan serta tersisih beraksi di Piala Dunia bersama Belgium dengan kembali beraksi bersama gergasi Itali itu dalam usahanya untuk berhijrah secara kekal dari Chelsea.
LUKAKU mahu kekal di Inter Milan. FOTO Agensi
Lukaku terlepas banyak perlawanan pada separuh pertama liga musim ini akibat kecederaan hamstring dan paha yang menjejaskan peluangnya untuk kembali bersama pasukan kebangsaan.
Pemain berusia 29 tahun itu dipinjamkan dari Chelsea dan mengesahkan perpindahan tetap ke Inter mungkin sukar kerana pasukan Liga Perdana itu ingin mendapatkan semula 97.5 juta pound (RM517.6 juta) yang mereka bayar kepada kelab Serie A itu pada Ogos 2021.
“Semua orang tahu apa yang saya mahukan. Sekarang ini saya perlu melakukan apa sahaja yang perlu untuk membolehkan Inter menang dan kemudian kita boleh berbincang dengan Chelsea.
“Saya mahu menamatkan kerjaya saya dengan (kelab zaman kanak-kanak) Anderlecht. Saya (hampir) berumur 30 tahun, anak saya mula bersekolah di sini dan bermain di akademi Inter.
“Saya mahu tinggal di sini dan melakukan perkara yang betul. Saya berharap dapat melakukannya dengan baik dengan Inter dalam enam bulan akan datang.
“Bekerja secara maksimum dan kemudian pada akhirnya kami berbincang dengan Chelsea dan berharap untuk mencari jalan penyelesaian,” kata Lukaku kepada Sky Sport Italy.
Lukaku berkata kecederaan jangka panjang yang dialaminya itu menyebabkannya terlepas begitu banyak perlawanan dalam kariernya termasuk gagal beraksi di Piala Dunia.
source: hmetro.com.my