LONDON: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp berkata tiada guna dia merungut terhadap pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana ia sama seperti bercakap dengan ketuhar gelombang mikro ketika pengendali dari Jerman itu berang dengan corak pengadilan selepas tewas 3-1 di tangan Brentford hari ini.
Pengurus Liverpool, Juergen Klopp bercakap dengan pengadil, Stuart Attwell (kiri) selepas perlawanan dengan Brentford di Stadium Komuniti Brentford. – REUTERS
Klopp berkata Brentford “menegangkan peraturan” dengan gaya tolakan dan kawalan, terutama pada sepakan bola mati dan dia merasakan gol ketiga Bryan Mbeumo sepatutnya dibatalkan kerana kekasaran.
Ketika ditanya sama ada dia ada bercakap dengan pegawai perlawanan mengenai isu berkenaan, Klopp memberitahu beIN Sports: “Betul, tapi itu sebenarnya sama seperti saya bercakap dengan ketuhar gelombang mikro saya, anda tidak akan dapat jawapan, memang benar. Ia sentiasa sama.
“Sebelum bermula musim mereka memberi nasihat bahawa pemain perlu berhati-hati dalam keadaan seperti ini kerana pengadil akan melihatnya. Anda melihat perlawanan ini tapi seperti semuanya dibenarkan, ia seperti di penghujungnya dan mereka menggunakannya.”
Virgil van Dijk menjadi seorang daripada tiga pemain Liverpool dikeluarkan selepas babak pertama tetapi Klopp mengesahkan pertahanan itu digantikan kerana rasa tidak selesa manakala dua lagi pemain – Harvey Elliott dan Konstantinos Tsimikas – kerana sebab taktikal.
“Virgil berasa sedikit tidak selesa di bahagian otot dan berkata dia OK, dan dia memang bagus dalam merasai semua ini. Tapi saya tidak mahu mengambil risiko,” kata Klopp.
“Fisioterapi agak gembira apabila saya berkata tidak mahu mengambil risiko. Ia bukan kecederaan, dia hanya merasakan intensiti itu.” – REUTERS
source: bharian.com.my