NOTTINGHAM – Chelsea kembali menunjukkan prestasi hambar selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium City Ground awal pagi semalam.
STERLING (kiri) berjaya membuka tirai jaringan, namun gagal dipertahankan apabila Forest berjaya menyamakan kedudukan untuk keputusan terikat 1-1 awal pagi semalam. – AFP
Walaupun berjaya mendahului perlawanan menerusi pemain sayap, Raheem Sterling, namun juara Eropah dua kali itu terpaksa akur pulang dengan satu mata apabila Serge Aurier menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.
Keputusan itu nyata tidak menggembirakan pengurus, Graham Potter yang menganggap The Blues gagal untuk menampilkan permainan sebenar, sekali gus menyaksikan mereka terus kekal di tangga ketujuh liga.
“Pada akhirnya, kami hanya berpuas hati dengan satu mata menentang sebuah pasukan yang sangat tersusun. Kredit kepada mereka kerana bijak menggunakan peluang bermain di laman sendiri sehingga membuatkan kami tertekan.
“Ini bukanlah tahap permainan sebenar Chelsea dan saya fikir kami tidak layak untuk bawa pulang tiga mata. Apabila memegang bola, kami terlalu lambat untuk melancarkan serangan ke arah pintu gol lawan,” katanya.
Justeru, bekas pengendali Brighton itu menegaskan, Chelsea perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal menampilkan aksi yang dimahukan dan menganggap pemain-pemainnya agak pasif sepanjang perlawanan.
“Kami hanya boleh salahkan diri sendiri dengan keputusan ini. Sudah tentu kami sangat kecewa dengan tahap permainan sepanjang 90 minit, namun apa yang jelas kami tidak layak untuk menang,” ujar Potter. – AGENSI
source: kosmo.com.my