BRENTFORD – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui tidak gembira dengan keputusan pengadil perlawanan, Stuart Attwell yang membenarkan gol ketiga Brentford ketika mereka tewas 1-3 pada aksi awal pagi semalam.
OXLADE-CHAMBERLAIN (kiri) meledak gol saguhati buat Liverpool ketika mereka tewas 1-3 menentang Brentford awal pagi semalam. – AFP
Menurut pengurus dari Jerman itu, pengadil gagal untuk mengikuti peraturan yang ditetapkan apabila pemain pertahanannya, Ibrahima Konate ditolak dan terjatuh, namun pengadil mengesahkan jaringan ketiga Brentford menerusi Bryan Mbeumo.
Pada aksi berkenaan, Liverpool ketinggalan dua gol pada babak pertama selepas Konate tertampan bola ke gawang sendiri dan Yoane Wissa melebarkan kedudukan, namun The Reds cuba merapatkan kedudukan menerusi Alex Oxlade-Chamberlain sebelum Mbeumo ‘membunuh’ harapan itu.
“Sudah pasti kami tidak bermain dengan baik, tetapi mereka (Brentford) tidak mengikuti peraturan yang telah ditetapkan, mereka menekan, menarik dan melakukan apa sahaja, namun pengadil tidak dapat mengesannya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada dia mengharapkan pengadil mengesan kesalahan berkenaan yang dilakukan pemain Brentford, Klopp menolaknya dan tidak mengharapkan pasukannya diberikan kelebihan.
“Kami mengadakan pertemuan sebelum musim bermula dan mereka telah memberitahu mengenai kesalahan di dalam kotak penalti yang membolehkan pengadil menghentikan perlawanan, namun malangnya ia tidak berlaku.
“Saya tidak mengharapkan pengadil memihak kepada Liverpool, saya cuma fikir ia adalah satu kesalahan, menarik dan menolak pemain lawan, adakalanya dibenarkan tetapi sesetengahnya melibatkan kesalahan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Klopp mengakui mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada persembahan pasukannya itu dan perlu menyalahkan diri sendiri ekoran kekalahan berkenaan, namun beliau masih tidak boleh menerima jaringan ketiga Brentford berkenaan. – AGENSI
Source: kosmo.com.my