LONDON: Julen Lopetegui mempersoalkan kenapa Liverpool memiliki kelebihan beberapa hari tambahan bagi bersedia menghadapi pusingan ketiga Piala FA awal pagi Ahad ini berbanding jadual padat Wolves.
Kunjungan Wolves ke Anfield adalah perlawanan ketiga daripada enam aksi sepanjang 23 hari.
Aksi pengurus Wolverhampton Wanderers, Julen Lopetegui (kiri) ketika saingan EPL menentang Aston Villa di Villa Park dekat Birmingham. – AFPLopetegui percaya Liverpool ada kelebihan yang jelas kerana skuad Jürgen Klopp kali terakhir bermain pada Isnin ketika tewas 3-1 di tangan Brentford.
Wolves seri 1-1 di Aston Villa pada Rabu.
“Saya tidak faham bagaimana kami bermain dalam kejohanan dan kurang dua hari (untuk bersedia) berbanding lawan,” kata Lopetegui.
“Mungkin satu hari (kurang persiapan), ia boleh berlaku. Tapi dua hari, ia banyak. Ia perbezaan yang besar buat kami. Mereka ada lebih dua hari untuk pemulihan. Saya minta maaf tetapi saya tidak faham perkara ini.”
Lopetegui berharap kecederaan melanda Daniel Podence pada babak pertama di Villa Park tidak serius tetapi Boubacar Traore dijangka akan diketepikan selama dua bulan.
Wolves kini berada dalam pasaran untuk mendapatkan pertahanan tengah, pertahanan kanan dan seorang penyerang selepas ketibaan Matheus Cunha namun pemain tengah menjadi keutamaan.
“Ia berita buruk buat kami,” kata Lopetegui mengenai kecederaan Traore. “Kami perlu meningkat dan seimbangkan skuad. Kami ada empat pemain tengah (yang cergas) dan kami perlu lebih ramai.” – AGENSI